JELASKAN FORMULA PENETAPAN SUBSIDI PETROL RM30 SEBULAN: TUNTUT

KUALA LUMPUR: Gerakan TUNTUT Malaysia menggesa kerajaan menjelaskan formula digunakan bagi menetapkan RM30 subsidi petrol sebulan yang ditetapkan melalui Program Subsidi Petrol (PSP) yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anak muda itu juga meminta jaminan kerajaan yang tidak berlaku kenaikan harga barangan, sekali gus kenaikan kos sara hidup rakyat dengan pelaksanaan subsidi bersasar itu.  

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata pihaknya khuatir pelaksanaan subsidi bersasar itu akan membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

“Kami sokong dan sambut baik PSP, namun begitu ia perlu ditambah  baik dengan beberapa pandangan dan idea yang seharusnya pihak kerajaan dengar dan berani terima apa rakyat rasakan,” katanya dalam temubual dengan Berita AlHijrah di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di sini hari ini.

A’zlan berkata semua keputusan kerajaan seharusnya mengambilkira manfaat bersama dan bukan hanya kebaikan untuk kewangan negara.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan untuk melaksanakan PSP di mana penerima yang layak akan menikmati subsidi petrol RM30 bulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.

Seramai 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada golongan B40 yang layak menerima bantuan PSP.

A’zlan berkata pelaksanaan PSP dikhuatiri akan menyisihkan kelompok tertentu, termasuk anak muda, yang sebelum ini menerima subsidi petrol.

“Kami membawa suara rakyat inginkan jaminan daripada kerajaan, dengan adanya subsidi petrol (bersasar) ini tidak akan berlaku kenaikan harga barang yang akan mengakibatkan kos kenaikan hidup rakyat di masa akan datang,” katanya.

Beliau juga meminta media untuk memberikan platform kepada NGO seperti TUNTUT untuk menyuarakan pandangan rakyat kepada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam sesi temubual itu, A’zlan turut menyentuh mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disifatkan mampu membantu kedudukan kewangan kerajaan ketika ini. – AlHijrah Online/Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply