JEPUN ‘PANDU UJI’ KERETA TERBANG

SD-03 keluaran SkyDrive berjaya terbang

TOKYO: Impian masyarakat dunia untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan menggunakan kereta terbang, mungkin tercapai seawal tahun 2023.

Ia selepas Jepun, melalui syarikat SkyDrive mula melakukan ‘pandu uji’ terhadap kereta terbang model SD-03 hasil kecanggihan dan kecekapan teknologi di negara matahari terbit itu.

Dalam ujian yang dilaksanakan baru-baru ini, SkyDrive yang memuatkan seorang penumpang sahaja, berjaya berlepas dan mendarat dengan baik.

Ketika diuji, SD-03 berjaya terbang sehingga enam kaki dari permukaan tanah, dan berlegar-legar di sekitar kawasan ujian selama kira-kira lima minit. Ia mampu terbang sehingga 10 minit pada satu-satu masa.

Kereta terbang yang dihidupkan dengan kuasa elektrik itu, menggunakan kaedah berlepas dan mendarat secara menegak (vertical take off and landing).

“Daripada lebih 100 projek kereta terbang di seluruh dunia, tidak banyak yang berjaya terbang dengan penumpang di dalamnya.”

Tomihiro Fukuzawa, Ketua Pegawai Eksekutif SkyDrive

Tokyo merancang memperkasakan model kereta terbang ini agar boleh bergerak mencecah kelajuan 60 kilometer sejam, dan mampu berada di udara lebih lama sehingga 30 minit tanpa melakukan pendaratan.

SD-03 memuatkan satu tempat duduk sahaja.

Jepun diramal mula menggunakan kereta terbang ini sebagai perkhidmatan teksi terbang komersial seawal 2023.

Perusahaan yang disokong syarikat automobil terkemuka Jepun, Toyota itu turut bercadang mengeluarkan model dua tempat duduk untuk pasaran komersial beberapa tahun lagi. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply