MOU MDEC-MASTERCARD: PELUANG PKS, USAHAWAN MIKRO TEROKA E-DAGANG

MOU antara MasterCard dengan MDEC termeterai

CYBERJAYA: Inisiatif kerajaan dalam mempercepat dan mempermudah urusan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro tempatan diterjemah melalui Memorandum Persefahaman (MOU) antara MasterCard dan Malaysia Digital Economy Corporation, MDEC.

Ia bagi membolehkan golongan usahawan berkenaan menyertai e-dagang melalui penggunaan pembayaran digital terutamanya bagi penduduk luar bandar yang masih kekurangan akses kepada kemudahan perbankan.

Pelaksanaan itu selaras dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang telah dilancarkan oleh kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pemeteraian MOU disaksikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan Pengurus MasterCard Malaysia dan Brunei, Perry Ong.

Menurut Datuk Zahidi, perancangan MDEC dan MasterCard ini diyakini akan memberi sinergi yang dinamik melalui perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik sebagai tranformasi digital ekonomi serta pertumbuhan perniagaan digital di Malaysia, secara amnya.

Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia

Malah produk usahawan termasuk daripada industri halal juga boleh dibantu untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Ia juga selaras hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN dan global.

KKMM bersama MDEC akan adakan kursus dan program untuk mereka yang terlibat dalam produk halal untuk kita pasarkan kepada seluruh dunia dengan bantuan daripada MDEC.

Datuk Zahidi Zainul Abidin,
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia

MasterCard dan MDEC akan memafaatkan program dan kepakaran masing-masing seperti bimbingan global MasterCard dan kurikulum untuk mempromosikan literasi digital dan kewangan untuk kumpulan sasar seperti wanita dan remaja yang kurang berkemampuan.

Menerusi MoU ini juga, urus niaga menjadi mudah dengan penggunaan teknologi perniagaan dan penjarakan fizikal tanpa kontak, selaras prosedur operasi standard (SOP) norma baharu bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply