KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan dakwaan tular di media sosial mendakwa sepasang bayi kembar hilang selepas dilarikan seorang ‘doktor palsu’ bernama Dr. Amalina Husna di Hospital Kuala Lipis.
Menurut kenyataan dikeluarkan JKNP hari ini, siasatan awal mendapati tiada rekod menunjukkan bayi kembar seperti didakwa pernah menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak hospital tersebut.
“Siasatan awal dilaksanakan dan mendapati tiada bayi kembar seperti didakwa telah menerima rawatan selama 9 bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis.
“Kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Lipis adalah pada Julai 2024,” menurut kenyataan itu.
JKNP turut menegaskan bahawa tiada rekod kewujudan individu bernama Dr. Amalina Husna sebagai kakitangan atau pegawai perubatan di Hospital Kuala Lipis.
Sehubungan itu, pihak hospital membuat laporan polis bagi mengekang penyebaran maklumat tidak berasas yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi kesihatan tersebut.
JKNP turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tanpa usul periksa dan sentiasa memastikan kesahihan maklumat yang diterima sebelum berkongsi di media sosial.—AlHijrah Online