JPJ KAJI SELARAS UNDANG-UNDANG AKTIVITI BERBASIKAL DI JALAN RAYA

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mengkaji untuk menyelaras penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti berbasikal di jalan raya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kajian itu akan melibatkan pihak polis dan agensi penguatkuasa lain agar tindakan tegas dapat dilaksanakan.

“Dalam rangka kerja perundangan, definisi kenderaan ini jika ia di bawah kelajuan 25 kilometer (km) sejam, ia didefinasikan sebagai basikal yang mana ianya dibenarkan untuk berada di ‘off road’ atau luar jalan raya. Ia juga kerana kenderaan itu tidak tersenarai dalam kenderaan yang dikenakan cukai dan disebabkan itu tiada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan.

“Bagaimanapun dalam perkembangan terkini yang terlampau banyak aktiviti berbasikal termasuk dengan aktiviti basikal lajak, jadi kita sedang bekerjasama dengan pihak seperti polis dan agensi lain untuk kita menyelaraskan keadaan ini,” katanya.

Menurut Shaharuddin, pada masa ini, JPJ tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pengguna basikal melainkan memberi advokasi dan pendidikan.

Katanya, aspek pengurusan kenderaan basikal adalah di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menyediakan laluan-laluan basikal yang bersesuaian di kawasan seliaan masing-masing.

Shaharuddin berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (Unit Penguatkuasa Lebuhraya) Di Bangunan Plaza Tol Lama Jelapang di Ipoh hari ini.

Beliau diminta mengulas hantaran di laman Facebook memaparkan aktiviti berbasikal di susur masuk lebuh raya di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Aktiviti dengan menggunakan jalan raya sebagai trek itu dikatakan mengundang keresahan pengguna jalan raya yang bimbang risiko kemalangan dan keselamatan nyawa. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply