PEGAWAI ATASAN PDRM ARAH ANGGOTA BAWAHAN BUAT KERJA PERIBADI BERDEPAN TINDAKAN

BIDOR: Pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati mengarahkan anggota bawahan membuat kerja peribadi serta menyalahguna aset kerajaan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, kesalahan terbabit akan termasuk dalam kategori kesalahan salah laku.

“Kesalahan ini saya bagi contoh, umpamanya saya pegawai atasan saya minta untuk uruskan hal-hal keluarga saya, bawa isteri saya ke pasar, bawa anak ke sekolah, itu pun salah laku yang tak patut diamalkanlah.

“Gunakan kereta pasukan untuk kegunaan peribadi, menggunakan anggota untuk tugas peribadi tu pun salah yang tak boleh digalakkan kerana kita ni bekerja mengikut keperluan rasmi sahaja,” katanya.

Datuk Zamri Yahya (dua dari kiri) pada program Outreach Psikologi dan Spiritual Serta Meraikan Saudara Baru di Batalion 3 PGA, Bidor

Tegas Datuk Zamri, salah guna kuasa merupakan antara kesalahan yang paling banyak dilakukan pegawai serta anggota PDRM dan beliau memandang serius isu terbabit.

Katanya, pegawai dan anggota polis yang terbabit dengan salah laku akan berdepan tindakan di bawah akta undang-undang IPCMC dan akta itu akan diguna pakai serta-merta sebaik diwartakan selepas mendapat kelulusan parlimen yang dijangka pada November.

Datuk Zamri berkata, walaupun hanya lima peratus pegawai dan anggota PDRM terlibat dalam salah laku namun ia tetap menjatuhkan imej badan penguatkuasa itu.

Justeru tegas beliau, sebagai pengamal undang-undang mereka perlu patuh peraturan, arahan kerja dan Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan yang telah ditetapkan.

Katanya, seramai 1,503 pegawai dan anggota PDRM telah dikenakan tindakan oleh JIPA atas pelbagai kesalahan tatatertib tahun lalu dan 2,232 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan tatatertib dengan 898 daripadanya sudah diselesaikan.

Datuk Zamri berkata demikian kepada media selepas Program Outreach Psikologi dan Spiritual Serta Meraikan Saudara Baru di Batalion 3 PGA, Bidor hari ini. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply