JURULATIH BOLA TAMPAR MOHON MAAF SECARA TERBUKA

MELAKA: Jurulatih bola tampar yang terbabit dalam kontroversi menampar pemain seperti yang tular di media sosial sebelum ini memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya itu.

Saiful Hadee Amar, 44, yang kesal dengan perbuatannya berkata beliau sedia dan reda berdepan tindakan bakal diterima selepas insiden itu pada 16 Dis lepas di Johor.

“Saya tidak berniat untuk mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan… tindakan saya adalah untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka dalam setiap perjuangan yang saya ada.

“Saya memohon maaf pada semua pemain terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa, kelab saya sendiri Mastanah dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) serta komuniti bola tampar di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka di Krubong hari ini.

Turut hadir Exco Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Melaka VP Shanmugam, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Pengarah MSN Melaka Asri Ninggal.

Sidang akhbar itu turut dihadiri ibu bapa dua pelajar terbabit iaitu Abd Halim Bakar, 50, dan isterinya, Hartini Wagimun, 48, serta Mohd Ismail Mohd Daud, 43, dan isteri, Rohayu Mohd Dahlan, 35,

Saiful Hadee berkata sesi latihan yang dikendalikan beliau sebelum ini turut menerapkan pelbagai jenis pendekatan termasuk psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemain pasukannya.

“Saya lakukan demi menaikkan semangat mereka sebagai seorang pemain yang berjuang bagi mencari setiap kemenangan… pemain-pemain adalah keluarga dan sumber kekuatan saya, tanpa mereka saya tidak boleh menjadi jurulatih.

“Sedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan kepada saya. Saya harap perkara ini jadi pengajaran pada diri saya sendiri,” katanya.

Shanmugam pula berkata segala keputusan yang bakal diambil terhadap Saiful Hadee akan diputuskan oleh MAVA selepas siasatan persatuan itu bersama Kementerian Pendidikan (KPM) selesai.

Beliau berkata antara tindakan yang boleh dikenakan terhadap Saiful Hadee ialah menggantung atau menamatkan perkhidmatannya sebagai jurulatih pasukan bola tampar Melaka B-14 (Wanita) itu.

“Meskipun permohonan maaf dan persefahaman antara kedua pihak iaitu jurulatih dan ibu bapa telah diselesaikan namun isu ini perlu diteliti dengan sewajarnya kerana telah mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Kedudukan jurulatih ini terbahagi kepada beberapa perkara, pertamanya ialah siasatan pihak kerajaan negeri kerana penularan ini. Keduanya, beliau berkhidmat dengan KPM maka Unit Integriti mereka akan membuat siasatan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, tular video yang memaparkan jurulatih itu bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun.

Kejadian itu mengundang reaksi pelbagai pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mahu perkara tersebut diambil tindakan sewajarnya.–AlHijrah Online

Leave a Reply