KAMPUNG MALAYSIA PENEMPATAN WAKAF PELARIAN SYRIA DI IDLIB

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan ratusan ribuan pelarian Syria yang hilang tempat tinggal akibat pertempuran di wilayah Idlib hujung tahun lalu, Syria Care melancarkan projek wakaf Kampung Malaysia sebagai penyelesaian jangka panjang membantu kelompok terjejas itu.

Melalui projek wakaf perumahan pelarian di utara wilayah Idlib, kira-kira 3 kilometer dari sempadan Syria dan Turki itu, sebanyak 292 unit rumah akan dibina untuk pelarian Syria terbabit.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, penempatan pelarian itu akan turut membabitkan pembinaan fasiliti asas seperti masjid, sekolah, klinik, pasaraya mini dan tempat beriadah.

Katanya, penempatan itu akan dibina di dalam zon selamat dikuasai Turki bagi memastikan kelangsungannya untuk manfaat pelarian terjejas.

“Ramai ingat peperangan berakhir di Syria akibat gencatan senjata (antara Rusia-Turki) tapi hakikatnya tidak begitu.

“Pertempuran masih berlaku (perang saudara Syria masih belum tamat) cuma serangan udara berhenti.

“Projek Wakaf Kampung Malaysia adalah projek penyelasaian jangka panjang kita untuk bantu saudara-saudara di Syria,” katanya kepada AlHijrah Online di sini hari ini.

Syria Care menyasarkan kutipan dana RM151,800 bagi fasa pertama Wakaf Kampung Malaysia, membabitkan pembinaan 20 unit rumah pelarian di utara wilayah Idlib.

“Fasa pertama pembinaan sudah bermula untuk membina 20 unit rumah. Keseluruhannya sebanyak 292 unit rumah pelarian akan dibina termasuk perancangan membina sekolah, masjid, klinik, pasaraya mini dan tempat riadah.

“Kita masih memerlukan sokongan rakyat Malaysia ketika dunia berdepan dengan COVID-19,” katanya menjelaskan setiap lot sumbangan ditetapkan pada kadar RM30 setiap lot dan 253 lot diperlukan untuk membina sebuah rumah pelarian Syria.

Laporan media menunjukkan 19 kes jangkitan COVID-19 direkodkan di Syria dengan dua kes maut.

Setakat ini, kes jangkitan dilaporkan berlaku di ibu negara Syria di Damsyik dan belum menular ke wilayah lain.

“Kita doakan wabak ini tidak sampai ke utara Syria. Kalau ia sampai, maka keadaan akan kritikal dengan keadaan mereka yang sesak, tiada bekalan air bersih dan hospital dan klinik yang tidak beroperasi,” kata Siti Sakinah merujuk kepada wilayah Idlib.

Idlib diisytiharkan sebagai zon de-ekskalasi pada September 2018 oleh Turki dan Rusia, bagaimanapun gencatan senjata itu dicabuli rejim Bashar dan Rusia menyebabkan ratusan ribuan terjejas dan hilang tempat tinggal.

Gencatan senjata terbaru dicapai antara Ankara dan Moscow pada 6 Mac lalu yang setakat ini menyaksikan tiada serangan udara berlaku, ketika Syria juga berdepan dengan ancaman wabak COVID-19.

Orang ramai ingin menyumbang bagi projek wakaf perumahan pelarian boleh melayari http://www.syriacare.org.my/wakafperumahanpelariansyria atau ke laman Facebook Syria Care. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply