KAMPUNG PAYA KENANGAN DILANDA BANJIR DUA KALI SEBULAN

Penduduk Kampung Paya Kenangan mengalihkan barangan apabila rumah mereka dinaiki air
berikutan banjir kilat susulan hujan lebat lebih dua jam pagi ini.

JOHOR BAHRU: Penduduk Kampung Paya Kenangan di sini meluahkan keresahan apabila kawasan itu dilanda banjir kilat hingga ke paras dada dua kali dalam tempoh sebulan.

Penduduk, Noraini Mohd Nasir, 55, berkata dia dan keluarganya berharap kerajaan dan agensi terlibat mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu itu dengan segera.

Katanya, dia dan suami Lokman Sayed, 55, bersama tiga anak mereka bertindak keluar dari rumah kira-kira 10 malam semalam, apabila air mula memasuki kediaman hingga paras lutut selepas hujan lebat dan petir sejak pukul 7 malam.

“Bulan ni sahaja dua kali air naik akibat banjir kilat, sebelum ini pada awal bulan ini. Tak sangka ia berulang lagi.

“Kami harap parit, sungai dan longkang di kawasan rumah dapat dibesarkan dan didalamkan,” katanya kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Yuliana Narom, 38, berkata dia dan suami Sulaiman Abdul Rahman, 40, sempat meletakkan peralatan elektrik dan perabot serta dokumen penting di tempat tinggi memandangkan baru sahaja mengalami situasi sama minggu lepas. 

“Saya hanya mampu reda meskipun sangat letih dan selalu rasa sakit pinggang apabila berlaku banjir kilat sebegini, selepas ini saya dan keluarga perlu membersihkan dalam dan luar rumah, paling merisaukan adalah keselamatan tiga anak kami yang masih kecil,” katanya.

Terdahulu, seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkah ke PPS berkenaan yang dibuka pada 10.30 malam tadi selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat selama lebih dua jam.-AlHijrah Online

Leave a Reply