Kebimbangan melampau dan kemurungan bukan gila!

Oleh: Zainal Rashid Ahmad
Data ancaman bunuh diri di kalangan pesakit kemurungan baru-baru ini sangat mengejutkan. – GAMBAR HIASAN

HARI ini – semua jenis simpton yang dikaitkan dengan masalah jiwa akan dianggap sakit mental atau gila!

Ini sindrom simplistik masyarakat kita yang masih belum memahami banyak aspek mengenai perbezaan istilah klinikal psikiatrik.

Dalam ucapan di Parlimen pada 31 Julai, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengulas isu kesihatan mental. Natijahnya mudah: Jangan pandang serong pada individu yang mendapatkan rawatan psikiatris di hospital.

Walaupun sidang parlimen Julai lalu hangat dengan isu-isu relatif politik, kenyataan Dr Dzulkefly membawa kita ke dimensi baharu. Lupakan politik. Ada tanggungjawab segera untuk melihat realiti sosial yang selama ini menjadi stigma masyarakat.

Bukan semua isu mental relatif pada istilah gila. Masyarakat perlu faham asas lain mengenai gejala mental. Masalah kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan (depress) dan ketegangan jiwa (stres) bukan istilah gila. Tiga simpton gangguan emosi ini kini merupakan fenomena penyakit yang meluas di kalangan rakyat negara ini.

Data September 2017 menunjukkan, 4.2 juta atau 29.2 peratus rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami isu berkaitan masalah mental. Ini data Kementerian Kesihatan.

Apa pun kita lihat seputar kisah yang mengejutkan dunia mengenai kejadian maut yang berpunca daripada isu gangguan kesihatan mental.

Tragedi bunuh diri dalam kalangan artis terkenal Barat dan bintang K-Pop menyebabkan dunia mulai heboh bercakap mengenai kesan penyakit kemurungan serta potensi bunuh diri pesakit ini.

Heath Ledger, pelakon watak Joker dalam filem Batman ditemui mati bunuh diri pada 22 Januari 2008. Kejadian ini mengejutkan dunia kerana bintang muda berusia 28 tahun itu hidup dalam kemasyhuran.

Pada 18 Mei 2017, Chris Cornell, vokalis Audio Slave pula ditemui mati bunuh diri. Kematian Cornell disusuli sahabatnya, vokalis Linkin Park, Chester Bennington pada 20 Julai tahun yang sama. Kemudian dunia hiburan pop digemparkan pula dengan kematian bunuh diri bintang boy band K-Pop, Kim Jonghyun.

Kejutan terbesar tentulah Bennington. Penyanyi terkenal ini membunuh diri selepas meraikan ulang tahun anaknya. 45 minit sebelum tragedi itu, dia dikatakan dalam keadaan sangat gembira.

Dunia terkejut kerana vokalis pop metal ini dilihat ikon anak muda yang sentiasa positif dengan lagu-lagunya yang havoc dan bersemangat.

Ini hanya senarai terkini. Kejadian bunuh diri dalam kalangan artis popular berlaku sejak era Jimi Hendrix (1970), Elvis Presley (1977) dan Kurt Cobain (Nirwana 1994).

Tidak saja di Hollywood dan arena K-Pop, Bollywood turut dilanda tragedi bintang terkenal mati bunuh diri. Antaranya, Jiah Khan (2013) dan Diva Bharti (1993). Malah, aktres lagenda Parveen Babi juga ditemukan mati bunuh diri (2005).

Ini indikasi popular senarai kes bunuh diri di kalangan artis terkenal. Namun, punca kematian mereka sama dengan ribuan kes bunuh diri yang lain. Mereka mengalami tekanan penyakit kemurungan.

Jadi tidak hairanlah, apabila NGO The Befrienders mendedahkan fakta mengejutkan mengenai data ancaman bunuh diri di kalangan pesakit kemurungan baru-baru ini.

Sepanjang 2017, The Befrienders menerima 27 ribu panggilan dan emel berkaitan kemurungan yang mendorong pada keinginan bunuh diri. Ia angka yang sangat mengejutkan.

Pengerusinya, Justin Gerard Victor mendedahkan, angka itu menakutkan. Ia meningkat berbanding statistik 25 ribu panggilan dan emel pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan sebanyak 8 peratus membuatkan para sukarelawan melipatgandakan usaha bagi memastikan konflik pemanggil didengari dan diberikan perhatian sewajarnya.

“Kita ingin singkirkan stigma dan tanggapan negatif umum yang menjadi penghalang pesakit untuk mendapatkan pertolongan dan rawatan yang sepatutnya,” kata Justin.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri program bicara Penyakit Mental: Pembunuh Senyap sempena Sidang Kemuncak Aspirasi dan Kepemimpinan (NALS) 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 4 Februari lalu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Marhani Midin; Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Nurashikin Ibrahim dan Presiden Medtweet.my, Dr. Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin.

Kita renung sejenak persekitaran yang dialami pesakit kemurungan di negara ini. Percayakan anda, kos yang mahal bakal menjadi punca penderita depresi mati bunuh diri?

Kos rawatan pakar swasta dan bil perubatan menelan belanja sekitar RM500 bagi satu kaunseling sekitar 30 minit. Stok ubat yang dibekalkan hanya untuk enam ke lapan minggu. Secara purata, pesakit memerlukan antara RM6 ribu hingga RM9 ribu setahun bagi menanggung bil rawatan.

Bagi yang tidak mampu, mereka harus ke hospital kerajaan. Cabarannya tentu lebih rumit. Ketika tekanan sudah memuncak dan mendekati keinginan bunuh diri, paling cepat peluang mendapatkan rawatan pakar kerajaan memerlukan tempoh dua minggu.

Dua minggu tanpa ubat, ketika tekanan kemurungan sudah memuncak – tanpa bantuan kaunseling, kejadian bunuh diri boleh berlaku pada bila-bila masa.

Itu belum lagi pesakit kemurungan mengalami dilema kerana terpaksa mendaftar secara terbuka di Jabatan Psikiatri dan duduk sebaris di kerusi menanti dengan pesakit mental untuk bertemu doktor pakar.

Selain itu, tahukah anda: Ketika penderita bertemu doktor di klinik pakar hospital swasta dan menyatakan tahap kemurungan yang dialami sangat kritikal, mereka tidak akan dirawat di wad.

Mereka hanya diberikan kaunseling dan ubat. Hospital swasta memiliki polisi tidak menerima pesakit kemurungan di wad!

Alasan pakar psikiatris mudah: Hospital swasta tidak menyediakan wad khas kerana bimbang pesakit ini mencetuskan kekacauan. Hospital swasta hanya memberikan khidmat komersil pesakit luar.

Selain itu perbezaan harga ubat juga turut menambah beban pesakit ini. Xanax 0.5mg yang digunakan sebagai ubat popular dalam rawatan kemurungan dijual pada harga RM5 sebiji di hospital swasta, manakala di hospital kerajaan ia hanya berharga kurang RM1.

Kita masih ketinggalan dalam menangani rawatan masalah kemurungan. Kekurangan pakar psikiatri, serta tekanan komersil yang teruk dalam kos kaunseling dan perubatan merupakan pembunuh awal sebelum pesakit membunuh diri.

Sistem rawatan kita terhadap pesakit ini juga sangat mendukacitakan.

Dalam satu kes, seorang pesakit pernah mengunjungi hospital swasta pada jam 12.00 tengah malam dan mengadu: “Tadi, saya berada di tengah jalanraya dan mengharapkan kenderaan besar yang laju melanggar saya hingga mati. Tetapi saya kuatkan diri untuk datang ke mari.”

Jawapan yang diterima ialah “kami tidak menerima pesakit psikiatrik. Anda harus ke tempat lain…”

Pesakit itu merayu: “Berikan saya sesuatu. Saya perlu bertahan sebelum esok pergi mencari tempat rawatan yang sesuai.”

Doktor itu menjawab: “Saya tidak dapat membantu.”

Setelah beberapa kali merayu dan meminta dibantu, dia masih tidak diterima atas alasan tidak menerima kes seperti itu.

Ini bukan aneh. Semua rawatan psikiatrik adalah projek mewah di hospital swasta. Ia dianggap penyakit mewah. Kos kaunseling doktor pakar dan harga ubat yang mahal, menjadikan kemurungan ialah penyakit elit yang berorientasikan wang.

Apa yang didedahkan Befrienders hanyalah angka. Apa yang belum didedah dan didebatkan secara terbuka ialah: Bagaimana SOP dan persediaan hospital swasta dan kerajaan dalam membantu mangsa?

Kita sudah ada angka dan fakta. Kita sudah ada pengetahuan dan kesedaran. Apa yang kita belum ada hanyalah tindakan berkesan bagi membantu pesakit kemurungan.

27 ribu angka panggilan dan emel yang didedahkan Befrienders akan berubah menjadi angka kematian sedikit demi sedikit pada tahun-tahun mendatang. Selagi kita tidak berubah dalam bentuk penyediaan rawatan yang boleh diakses secara mudah dan murah.

Ingat! Kemurungan bukan penyakit gila. Ia kombinasi yang kompleks mengenai komposisi kognitif. Kemurungan juga merangkumi isu genetik dan penghasilan kimia dalam tubuh. Selain soal utama yang bersangkutan dengan kejiwaan dan perasaan.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera. Beliau telah memenangi 38 hadiah sastera.

Leave a Reply