Pusat Tahfiz & Aspirasi Rahmatan Lil ‘Alamin

Kajian data menunjukkan terdapat lebih 1,000 pusat tahfiz di negara ini. Angka yang besar berdasarkan bandingan dengan 2408 jumlah sekolah menengah seluruh negara.

Kadar pelajarnya pula, terdapat 150 ribu pelajar tahfiz. Sangat kecil berbanding 2.2 juta pelajar sekolah menengah.

Menurut Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA), terdapat lebih 300 pusat tahfiz di negara tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tahun ke tahun, pusat tahfiz terus tumbuh. Fenomena yang disebabkan oleh dua perkara: Lulusan tahfiz meneruskan legasi membuka sekolah tahfiz sebagai kerjaya. Manakala permintaan ibu bapa terhadap pendidikan tahfiz pula meningkat.

Institusi tahfiz kekal dihormati. Ia akar tradisi pengajian Islam tertua di negara ini. Pengaruh asal dalam budaya pengajian pondok bermula seawal abad ke-17 apabila anak-anak Tanah Melayu merantau ke Pattani di Selatan Thailand untuk tujuan ilmu.

Sekolah pondok yang menjadi jalur kepada kewujudan pusat tahfiz mula bertapak di Tanah Melayu pada 1930-an.

Setelah sembilan dekad bertapak, tradisi pondok dan pusat tahfiz juga melalui perlbagai perubahan. Terasnya kekal sebagai nadi keilmuan Islam. Namun, wujud perubahan dalam konteks permintaan.

Hari ini, selain pendidikan agama dan mahukan anak bergelar huffaz, pusat tahfiz turut memainkan peranan melahirkan pencorak agama pada masa depan.

Dalam konteks Islam berdepan pelbagai cabaran dalam persekitaran global dan domestik, sudah pasti harapan terhadap pusat tahfiz turut meningkat. Umat Islam berharap, pelajar tahfiz yang bakal mengisi pembangunan Islam abad ke-21, mampu berperanan secara kompeten dan holistik.

Ini bukan harapan bombastik. Persekitaran dunia dan setempat membuktikan cabaran terhadap Islam akan terus ada. Istilah cabaran bukan bererti negatif – sebaliknya, merujuk kepada usaha menjadikan Islam sebagai kuasa peranan yang relevan bagi tamadun manusia.

Memetik harapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, cabaran terkini ialah kebijaksanaan Islam menguruskan kepelbagaian secara terbuka. Islam wajar menyantuni masyarakat Islam dan bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

Keterbukaan, kata Dr Mujahid, ialah sikap kita dalam memberi pandangan.

“Lihatlah fiqh dalam kerangka yang luas. Terokailah fiqh selagi tidak bercanggah dengan syariat. Jangan sempitkan khazanah ilmu selagi ia berlegar di sekitar hukum-hukum syariat Islam.”

Dr Mujahid membawa aspirasi yang mendokong kerangka dan cara serta gaya berfikir berlandaskan Maqasid Syariah. Asas sejarah, rujukan beliau, dengan mencontohi perkembangan gemilang Islam di Cordova.

“Islam menjaga insan. Kita menjaga segala sifat kemanusiaan. Berfikir dengan cara maqasidiq,” kata Mujahid.

150 ribu pelajar tahfiz akan mengisi ruang agenda Islam dalam tempoh empat hingga lima tahun sekarang. Tentunya bukan sekadar aset pasif, tetapi menjadi segmen aktif dalam membina negara bangsa.

Ia lebih mencabar bagi negara pelbagai kaum yang berteraskan Islam sebagai agama pembawa rahmat ke seluruh alam.

Malah, peranan huffaz dalam konteks yang dinamik ialah mengisi nilai Al-Quran sebagai agenda media yang relevan. Kita mahu melihat huffaz turut berperanan sebagai penyambung nilai Islam ke seluruh umat sejagat dalam komunikasi digital.

“Kita perlu memenuhkan kandungan media kita dengan Fiqh Manhaj Malizi atau fekah model Malaysia,” katanya.

Mengingatkan saranan ini, 150 ribu pelajar tahfiz

dan lebih 1,000 pusat tahfiz kini berperanan sebagai penyedia sumber manusia bagi memastikan keilmuan dan ilmuan Islam kekal kompeten dan relevan.

“Saya mengharapkan para pengusaha tahfiz supaya dapat membangunkan tahfiz mengikut acuan Malaysia supaya tahfiz-tahfiz kita dicontohi pula oleh luar negara,” kata Dr Mujahid. Mudah-mudahan falsafah ini dapat mempromosi gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Kini sekolah tahfiz bukan sekadar nadi ilmu yang bakal genap satu abad sejarah pengajian pondok di negara kita. Malah, peranannya jauh melebar dalam menjadikan Islam sebagai agama yang mensejahterakan manusia sejagat.

*Zainal Rashid Ahmad, penulis ialah Naib Presiden Kanan Kandungan & Komersil TV Alhijrah

One comment

  • Salam. Saya Puan Norwani Ahmat, salah seorang pengamal keselamtan dan kesihatan pekerjaan. Saya juga merupakan AJK Pengurusan Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH)
    Saya ingin menawarkan diri memberikan informasi /slot di media Rahmatan Lil ‘Alamin berkenaan keselamatan dan kesihatan di pusat tahfiz. Boleh hubungi saya sekiranya khidmat saya diperlukan

Leave a Reply