KEBUN BUAH-BUAHAN DISERANG SEKUMPULAN GAJAH, KERUGIAN LEBIH RM100,000

Beberapa pokok kelapa yang ditumbangkan oleh sekumpulan gajah yang masuk ke Ladang Desaru Fruit Farm sejak bulan lepas ketika tinjauan di ladang itu hari ini. (Sumber gambar: BERNAMA)

KOTA TINGGI: Pengusaha Desaru Fruit Farm, lokasi agropelancongan terkenal dekat sini, mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas tiga kebun buahnya didatangi sekumpulan gajah sejak sebulan lepas.

Pengarah Desaru Fruit Farm, Steve Er Wee Heng berkata kehadiran kumpulan mamalia tersebut mula disedari lewat malam 24 Februari lepas dan sejak itu, haiwan berkenaan telah beberapa kali memusnahkan tanaman seperti buah jambu air, jambu batu dan pisang nipah.

“Kerugian dianggarkan lebih RM100,000 sebab banyak pokok yang ditumbangkan, semata-mata mencari pokok pisang nipah, kemudian buah abiu yang bermusim, yang besar-besar habis dimakan.

“Kejadian terbaru pada Ahad lepas, sebab pada waktu itu saya ada kerja di Johor Bahru, apabila sampai sini, saya lihat semua staf berada di tepi jalan. Saya ingatkan ada kes berlaku rupanya mereka nampak gajah,” katanya kepada pemberita di Desaru Fruit Farm, di sini hari ini.

Katanya, sejak akhir bulan lepas, kira-kira 90 ekar kawasan kebun telah dimusnahkan kumpulan gajah itu, melibatkan 918 pokok pisang, 124 pokok kelapa pandan dan 216 batang jambu air.

Menurut Er, apa yang lebih membimbangkan ialah kumpulan gajah itu kini semakin menghampiri kawasan yang didiami pekerja dan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan mereka.

“Termasuk keluarga dan pekerja, ada kira-kira 40 orang tinggal dalam kawasan kebun seluas 120 ekar ini,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, empat ekor gajah telah dilihat berkeliaran di kawasan kebun berkenaan dan kumpulan ini selalunya dilihat antara 11 malam hingga 2 pagi.

Meskipun telah membuat laporan kepada Jabatan Perhilitan Johor, Er berkata, sehingga sekarang masih belum ada tindakan konkrit diambil untuk menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi Noorfarahin Sahari berkata pihaknya sedang meneliti laporan yang diterima daripada pihak pengusaha dan selain Desaru Fruit Farm, pengusaha Bio Desaru turut melaporkan mengenai kerosakan tanaman dipercayai disebabkan gajah.

“Saya nasihatkan agar mana-mana pengusaha yang mengalami kerosakan atau kemusnahan kebun atau ladang, akibat gajah atau bencana, untuk segera melaporkan kepada agen pengembangan tanah Jabatan Pertanian. Bantuan sokongan akan diberikan dari segi input dan peralatan melibatkan nilai tidak melebihi RM3,000,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply