KELANTAN BEBAS INFLUENZA A

RANTAU PANJANG: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan negeri ini bebas daripada serangan wabak influenza A.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang kes melibatkan wabak berkenaan.

“Bagaimanapun, kita sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan rapi dalam mengesan wabak tersebut,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Katanya, orang ramai turut dinasihatkan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami demam luar biasa.

Sementara itu, Dr Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk menangani wabak tersebut terutama mereka yang keluar masuk di pintu sempadan kedua-dua negara.

Terdahulu dalam program tersebut, Dr Zaini turut memeriksa suhu badan salah seorang warga Thailand yang memasuki negara ini, di ICQS Rantau Panjang dengan menggunakan therma scanner dan mengagihkan risalah mengenai influenza kepada orang ramai. — SINAR HARIAN

Leave a Reply