ISU PONGGAL: JAKIM HANYA BERI PANDANGAN PEMBABITAN ORANG ISLAM

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan pihaknya hanya memberi pandangan dari sudut pembabitan orang Islam dan ia tidak sama sekali menghalang sambutan Ponggal diadakan di sekolah-sekolah.

JAKIM menegaskan pandangan dikeluarkan adalah susulan permohonan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada agensi agama itu mengenai garis panduan kepada warga pendidikan muslim yang terlibat dalam perayaan tersebut.

“Keputusan mengenai perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

“JAKIM hanya memberikan pandangan dari sudut penglibatan orang Islam dan sama sekali tidak menghalang sambutan tersebut dilaksanakan.

“Malah Panel Pakar Syariah JAKIM juga berpandangan adalah harus untuk orang Islam mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran yang menyambut perayaan tersebut tanpa niat mengiktiraf agama mereka serta umat Islam tidak boleh memaki dan mencaci serta menghina tuhan-tuhan agama mereka,” kata Unit Komunikasi Korporat JAKIM dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu merujuk isu penglibatan orang Islam, khususnya murid dan guru muslim di sekolah-sekolah dalam Pesta Ponggal sepertimana surat pekeliling yang diedarkan KPM pada 13 Januari lalu.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mengecam arahan kementerian terbabit yang didakwa melarang pelajar Islam menyertai pesta Ponggal dan diisytiharkan haram oleh JAKIM, menurut laporan sebuah portal berita.

Pemimpin politik itu turut mempersoalkan jika KPM hanya mengikut arahan JAKIM, malah menyamakan agensi agama itu dengan parti politik yang cuba membangkitkan sentimen perkauman. — AlHijrah Online

Leave a Reply