KEMATIAN ANGGOTA TENTERA HILANG DI HUTAN SIMPAN BELUM AKIBAT KECEDERAAN KEPALA

IPOH: Polis mengesahkan punca kematian anggota tentera yang ditemukan maut di Hutan Simpan Belum dekat Gerik Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib berpunca daripada kecederaan kepala dipercayai akibat terjatuh.
Ketua Polis Perak Datuk Seri mophd Yusri Hassan Basri berkata pengesahan itu dibuat selepas proses bedah siasat di Hospital Permaisuri Bainun, di sini.
“Hasil bedah siasat dikenal pasti sebagai Koperal Mohamad Nasri Mohd Nasib dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang.
“Punca kematian adalah disebabkan kecederaan kepala yang konsisten dengan jatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata jenazah telah diserahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Semalam, Mohd Yusri berkata polis menemukan satu mayat lelaki oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat berikutan laporan kehilangan seorang anggota tentera di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, sejak 7 April lepas.
Mayat kemudian dihantar ke hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. –AlHijrah Online