Kematian Mejar Zahir kemalangan dalam latihan

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya

KUALA LUMPUR – Lembaga siasatan insiden melibatkan kematian Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya telah memuktamadkan siasatan dan membuat keputusan bahawa insiden berkenaan merupakan kemalangan dalam latihan dan diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.

“Pihak ahli lembaga (siasatan) turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik,” kata kenyataan Tentera Darat Malaysia hari ini.

TDM juga akan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang terlibat dalam insiden itu, juga akan mengemaskini prosedur operasi standard jika difikirkan perlu.

Dalam masa yang sama, latihan untuk memperkasakan TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga terhadap peralatan dan kelengkapan sedia ada.

Mohd Zahir meninggal dunia semasa melaksanakan latihan keupayaan pada majlis Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu pada 4 September lalu.

Sementara itu menurut kenyataan tersebut, Majlis Angkatan Tentera ke-578 (MAT) yang bersidang pada 17 September lalu bersetuju untuk menaikkan pangkat Mohd Zahir kepada Leftenan Kolonel, tertakluk kepada kelulusan Yang DiPertuan Agong.

Daripada aspek kebajikan, katanya, TDM telah menghulurkan bantuan sewajarnya kepada balu Mohd Zahir, Nour Shafinar Harun dan ahli keluarganya sejak hari pertama kejadian.

Selain itu, Nour Shafinar dan keluarga juga akan terus diberi bantuan dan faedah mengikut kelayakan yang telah ditetapkan TDM.

Leave a Reply