Dari gengster ke pintu rahmah-Nya

Abdul Rahman berkongsi kisah penghijrahannya dari seorang gangster sehingga dikurniakan hidayah untuk memeluk Islam.

PERNAH terlibat dengan gengsterism dan dipenjarakan sebanyak tiga kali tidak memberi iktibar kepadanya, apatah lagi berfikir untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Namun pertemuannya dengan individu yang dikenali sebagai Adam membuka jalan kepadanya untuk berubah.

Hidayah itu diberikan kepada sesiapa yang Dia mahu. Dari seorang bekas ahli kongsi gelap, Abdul Rahman Abdullah, atau nama asalnya Chee Yin Wei tidak menyangka pertemuannya menjadi titik permulaan untuk dia memeluk Islam, sesuatu keputusan yang tidak pernah terdetik di hatinya pun selama ini.

Menelusuri sejarah perkenalan Abdul Rahman, 38 tahun, dengan Adam, pertemuan singkat yang tidak dijangka itu ditakdirkan berlaku di Masjid Alor Setar sekitar Julai tahun lepas.

Adam diutuskan kepadanya ketika dirinya berdepan dengan pelbagai masalah dan hidup terpuruk dalam keadaan terumbang ambing.

Dalam keadaan sedemikian rupa, dia tidak menyedari kakinya sudah pun melangkah masuk ke sebuah masjid, kemudiannya bertemu Adam dan menceritakan masalahnya. Ketika itu pula, azan Asar berkumandang dan Adam mencadangkan agar dia melakukan solat.

Walaupun sedar dirinya belum Islam, Adam tanpa ragu-ragu mengajarnya mengambil wuduk dan menunaikan solat dengan cara mengikut pergerakan jemaah lain.

Rasa ketenangan memenuhi jiwanya, dan tatkala sujud sebak pun menerpa. Dia terus terfikir masalah yang dihadapi dan dosa-dosanya sebelum ini, membuatkannya terus memasang niat untuk memeluk Islam selepas itu.

Selepas memeluk Islam pada Ogos tahun lepas, masalah beban hutang dan masalah rumah tangga yang menekan serta masalah pertikaian dengan rakan kongsi gelap hilang serta merta, seperti satu keajaiban berlaku terhadap dirinya.

Namun selepas itu, dia tidak lagi di”pertemukan” dengan sahabatnya Adam. Apapun dia tetap bersyukur dengan pertemuan sebentar cuma itu dan yakin Adam dihantar Allah sebagai asbab untuk dia dikurniakan hidayah yang tidak ternilai itu.

Abdul Rahman yang berasal dari Tongkang Yard di Alor Setar pernah bekerja sebagai tukang masak di Singapura berkata, pada mulanya dia mendapat bantahan daripada ibunya selepas mengetahui dia memeluk Islam.

Namun selepas memberi penjelasan dan memahaminya, kini ibunya pula yang menghantarnya ke masjid apabila tiba masuk waktu solat. Tuhan melimpahkan rahmat kepadanya dengan mempermudah hijrahnya.

Leave a Reply