Pengajian media perlu tepati kehendak semasa

Johan Jaaffar

SUBANG JAYA – Pengajian Media dan Komunikasi di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dikaji semula bagi melahirkan graduan yang bertepatan dengan kehendak industri semasa.

Tokoh Wartawan Negara 2018, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, silibus pengajian itu memerlukan penambahbaikan supaya kekal relevan dengan peredaran industri yang berbeza dengan masa lalu.

“Saya percaya tiada pengajian yang tidak relevan, termasuk pengajian media. Kita perlu melihat semula kurikulum media, sukatan pelajaran yang diajarkan. Realiti media hari ini berbeza dengan realiti 10-20 tahun lalu. Pengajian media atau ‘media studies’ di universiti itu harus dilihat semula,” katanya.

Johan yang juga bekas pengerusi Media Prima Sdn Bhd berkata, syarikat media arus perdana perlu menyusun strategi bagi menghadapi persaingan dengan media sosial yang lebih menguasai pengaruh pengiklanan dan penyampaian maklumat.

Tambahnya, model perniagaan yang diguna pakai ketika ini dilihat tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.

Johan berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Media Kebangsaan anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dengan kerjasama Taylor’s University di sini pagi tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya dan Dr. Latiffah Pawanteh, Ketua Pengajian Media dan Komunikasi Taylor’s University serta Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

One comment

Leave a Reply