KEPUTUSAN AS IKTIRAF PENEMPATAN HARAM ISRAEL TIDAK MASUK AKAL: TUN M

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan Amerika Syarikat (AS) ke atas status penempatan Israel di dalam wilayah Palestin adalah tidak masuk akal kerana seolah-olah mengizinkan rampasan tanah oleh sesebuah negara jiran.

Merujuk kepada laporan memetik Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, yang mengumumkan pentadbiran Donald Trump tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram, Dr Mahathir berkata, tanggapan itu secara terang-terangan mengenepikan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita tidak lagi selamat. Jika sesebuah negara mahu masuk ke negara kita dan membina penempatan, kini ia adalah sah dan dihalalkan. Kita tidak boleh buat apa-apa,” kata Dr Mahathir dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata pendirian pentadbiran Trump itu telah menyebabkan kemarahan di peringkat antarabangsa kerana bertentangan dengan keputusan Pentadbiran AS pada 1978 di mana penempatan itu adalah haram dan tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Dr Mahathir melahirkan perasaan bimbang kerana pengumuman itu dijangka menggalakkan lagi kekejaman tentera Israel yang ketika ini sedang ghairah melakukan pembunuhan dan serangan ganas ke atas Gaza di mana laporan-laporan menyatakan ramai kanak-kanak terkorban.

“Anda mengumumkan bahawa penempatan haram mereka adalah sah semasa mereka sedang melakukan keganasan di Gaza… tidakkah ini akan menggalakkan mereka untuk membunuh kanak-kanak dan orang awam dan mereka tidak akan dihukum?

“Sebaliknya mereka diberi ganjaran untuk membina penempatan di tanah penduduk yang telah mati mereka bunuh,” kata Dr Mahathir. — AlHijrah Online

Leave a Reply