KEPUTUSAN VAKSINASI KANAK-KANAK LIMA HINGGA 11 TAHUN BUKAN SUKA-SUKA

BAGAN SERAI: Keputusan kerajaan meluluskan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak kanak berumur 5 hingga 11 tahun bukan dibuat sekadar untuk suka-suka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sebaliknya berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kelulusan pendaftaran bersyarat mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ekoran kebimbangan jangkitan virus COVID-19 terhadap kumpulan kanak kanak terbabit.

“Kalau kita dapat lihat, daripada Januari 2020 hingga Januari 2022, seramai 579,000 remaja dan kanak kanak berumur bawah 18 tahun telah dijangkiti COVID-19 dan daripada jumlah itu 144 orang telah meninggal dunia.

“Jadi memandangkan sekarang rakyat dah bergerak bebas, kanak-kanak dah pergi sekolah dan mereka tidak diberi vaksin, jadi kita bimbang jangkitan akan kena pada anak-anak,” katanya.

Jelas Noor Azmi, program pemberian vaksin kanak-kanak (PICK Kids) tersebut akan menggunakan vaksin Comirnaty dengan formulasi baharu.

Justeru katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana formulasi khas untuk kanak kanak itu hanya satu pertiga daripada dos yang digunakan bagi golongan dewasa dan dibekalkan di dalam bebuli 10-dos serta perlu dicampur dengan 1.3 ml larutan garam biasa.

Ujarnya, bekalan vaksin untuk kanak kanak terbabit akan sampai di Malaysia 31 Januari ini dan pemberian vaksin akan bermula pada 3 Februari di Lembah Klang.

Justeru beliau menasihatkan ibu bapa agar mendaftarkan anak masing-masing untuk pengambilan vaksin COVID-19 terbabit.

Noor Azmi berkata demikian kepada media selepas hadir pada program Jualan Keluarga Malaysia peringkat Negeri Perak, Parlimen Bagan Serai, di Tapak Pasar Tani, Pusat Bandar, Bagan Serai, hari ini. –AlHhijrah Online

Leave a Reply