KERETA TERHUMBAN KE SUNGAI RAJANG, DUA HILANG DAN SEORANG SELAMAT

SIBU: Dua individu dilaporkan hilang manakala pemandu kereta sedan itu selamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Rajang berdekatan Jeti Feri Tanjung Kunyit, kira-kira 15 kilometer dari sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata laporan berhubung kejadian itu diterima kira-kira 2.03 pagi dan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sudah diaktifkan.

“Mangsa pertama seorang lelaki berumur 38 tahun telah berjaya ditemukan pada 7.30 pagi dan telah dibawa ke Hospital Sibu dan keadaan mangsa stabil, manakala usaha mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak dalam kenyataan berkata seorang daripada dua mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Philip Yiin Chung Leong, 61, sementara identiti seorang lagi mangsa belum diperoleh. 

Kenyataan itu menyebut lima anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral telah digerakkan ke lokasi itu bagi menyertai operasi SAR berkenaan.

“Pencarian dilakukan dengan menaiki sebuah bot dan dibantu empat anggota Polis Marin dalam sebuah lagi bot bagi menjalankan pencarian di permukaan air,” tambahnya.–AlHijrah Online

Leave a Reply