Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KEROPOK BERACUN: SELEPAS ABANG, ADIK MENINGGAL DUNIA TENGAH HARI TADI

DALAM NEGARA

KEROPOK BERACUN: SELEPAS ABANG, ADIK MENINGGAL DUNIA TENGAH HARI TADI

Selepas abangnya meninggal pada Rabu lalu, Muhammad Luth Syauqi, 2 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pulau Pinang (HPP), kira-kira jam 1.24 tengah hari.

GEORGE TOWN: Mangsa kedua insiden keropok beracun Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, menghembuskan nafas terakhirnya hari ini hanya dua hari selepas pemergian abangnya Muhammad Akil Syauqi, 3, ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ibu kanak-kanak itu Nurain Hasnorizal, 25, ketika dihubungi berkata anak bongsunya meninggal dunia kira-kira 1.24 tengah hari tadi.

Terdahulu, kedua-dua beradik malang itu menerima rawatan di PICU HPP sejak Ahad lepas selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah.

Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi Rabu selepas 78 jam bertarung nyawa.

Nurain berkata proses bedah siasat anak bongsunya akan dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HPP hari ini sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan berhampiran pusara abangnya.

Walaupun sedih dan perit untuk menerima hakikat itu namun beliau reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya reda, biarlah dia ikut abangnya daripada menanggung kesakitan di sini…hilang sudah semua kesakitan adik sekarang,” katanya dengan nada teresak-esak.

Media melaporkan dua kanak-kanak itu dipercayai mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun yang dikatakan untuk memerangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi hari kejadian selepas melihat kedua-dua anaknya muntah dan mulut mereka berbuih.

Sementara itu di Kulim, nenek kanak-kanak berkenaan Saadiah Yaacob, 62, reda dengan pemergian seorang lagi cucunya. 

“Saya sedih sangat hilang dua cucu…selang dua hari…namun saya reda. Sudah sampai  ajalnya… sebelum ini, makcik senantiasa berdoa kedua-dua kembali sihat…namun mereka pergi juga untuk selamanya.

“Jenazah adik akan dikebumikan bersebelahan pusara abangnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, ibu kanak-kanak berkenaan memaklumkan anak bongsunya meninggal dunia 1.24 tengah hari tadi.

Kematian mangsa turut disahkan Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi.

“Bedah siasat dijangka dijalankan pada 5 petang ini,” katanya. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading