KES BAHARU COVID-19 MENURUN TIGA HARI BERTURUT-TURUT

BEIJING: China mengumumkan penurunan kes baharu koronavirus (Covid-19) untuk tempoh tiga hari berturut-turut walaupun pihak berkuasa memaklumkan 2,009 kes jangkitan baharu selain 142 kematian direkodkan hari ini.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata, penurunan kes baharu menunjukkan keseluruhan epidemik itu dapat dikawal.

“Kami telah mengambil langkah pencegahan dan kawalan sepenuhnya. Usaha yang dilakukan juga sangat komprehensif dan tidak mungkin negara lain dapat lakukan seperti ini,” katanya ketika mengulas tentang penurunan kes Covid-19 tersebut.

Difahamkan, kira-kira 9,419 pesakit juga telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

Sehingga kini, lebih 66,000 kes jangkitan dan lebih 1,500 kes kematian dilaporkan sejak wabak membawa maut itu pertama kali dikenal pasti di Wuhan pada akhir Disember lalu.

Khamis lalu, kes kematian dan jangkitan Covid-19 menyaksikan peningkatan mendadak hampir 10 kali ganda atau lebih 15,000 kes jangkitan Covid-19 direkodkan selepas pihak berkuasa kesihatan menggunakan kaedah baharu untuk mengesan jangkitan virus tersebut di wilayah Hubei.

Di luar China, terdapat lebih 500 kes dicatatkan di hampir 30 negara manakala empat kematian dilaporkan di Perancis, Hong Kong, Filipina dan Jepun. – AgensiPihak berkuasa menutup laluan utama di Wuhan sebagai sebahagian daripada langkah menyekat penularan Covid-19.

Hampir 500 juta penduduk China terperangkap selepas pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung ketika wabak koronavirus (Covid-19) merebak ke setiap pelosok wilayah di republik itu.

Angka mengejutkan itu mengatasi jumlah keseluruhan populasi penduduk Amerika Syarikat (AS) yang berjumlah 330 juta orang atau menyamai kira-kira 6.5 peratus penduduk dunia.

Sekurang-kurangnya 48 bandar dan empat wilayah di seluruh China termasuk Wuhan iaitu pusat penyebaran Covid-19 telah mengeluarkan notis rasmi perintah berkurung.

Langkah ketat seperti memastikan penduduk didaftarkan sebelum dibenarkan keluar atau masuk termasuk menutup jalan serta menggantung perkhidmatan kereta api dan pengangkutan awam turut dilaksanakan bagi membendung penularan wabak berkenaan. — SINAR HARIAN

Leave a Reply