KITA TELAH BERADA DALAM GELOMBANG OMICRON – KJ

Sumber Gambar : Reuters

Kuala Lumpur: Malaysia kini sudah berada sepenuhnya dalam gelombang baharu COVID-19 yang dicetuskan oleh varian Omicron, dengan kes harian kini melonjak melebihi 10,000 hari ini.

Ia disahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut menjangkakan jumlah kes harian akan melonjak dan mencecah 15,000 kes tidak lama lagi.

Khairy turut membangkitkan kebimbangan terhadap sekitar satu juta warga emas yang masih belum mendapatkan dos penggalak.

“Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak.

“Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Beliau mengulas unjuran model Pemerhatian dan Unjuran Kes Harian SEIR Covid-19 yang dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Model SEIR itu mengunjurkan kes harian COVID-19 berisiko melonjak sehingga kembali mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan depan, sekiranya kadar kebolehjangkitan (Rt) virus itu kekal pada 1.2.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham yakin tahap keparahan wabak itu dapat dikurangkan walaupun kes bakal melonjak tinggi, berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi. –AlHijrah Online

Leave a Reply