PAMPASAN HAMPIR 60 PERATUS UNTUK JEMAAH TANGGUH UMRAH

Gambar Hiasan

KOTA BHARU: Kerajaan akan membayar pampasan dianggarkan antara 50 hingga 60 peratus daripada kos dibayar jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang penutupan sementara sempadan negara selama sebulan bermula 8 Januari lalu akibat penularan COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pampasan berkenaan akan dibayar melalui Lembaga Tabung Haji (TH) kepada bakal jemaah terlibat.

Jelasnya, jemaah tersebut nanti boleh hadir di mana-mana pejabat TH terdekat dengan membawa dokumen berkaitan.

“Proses ini kini dalam penelitian akhir, kita jangkakan akan mendapat senarai penuh jemaah yang mengalami kerugian pada pertengahan bulan ini dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan persatuan umrah.

“Kalau mereka ada akaun TH lebih senang sebab pembayaran akan dimasukkan terus ke akaun bakal jemaah berkenaan.

“TH akan mengagihkan bayaran pampasan dengan peruntukan disediakan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MoF),” katanya pada sidang media selepas Program Santuni Nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Marzuk turut mengingatkan bakal jemaah yang akan menunaikan umrah bermula Selasa ini supaya menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Kebelakangan ini berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19. Saya harap jemaah kekal patuh SOP, terutama pakai pelitup muka.

“Kita mahu pastikan mereka pulang daripada umrah, tidak menyumbang kepada peningkatan kes di negara ini,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan akan membayar pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang penutupan sementara bulan lalu.

Idris sebelum ini berkata walaupun tidak dapat memberikan pampasan penuh, kerajaan berharap ia sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada jemaah tanah air.

Terdahulu pada 1 Januari, kerajaan mengumumkan keputusan menangguhkan ibadah umrah buat sementara berkuat kuasa 8 Januari berikutan penularan jangkitan Omicron.

Tiga minggu kemudian, Kabinet memutuskan membenarkan semula umat Islam di negara ini ke Tanah Suci mulai 8 Februari. –AlHijrah Online

Leave a Reply