ANGGOTA JPJ MAUT KEJAR PENUNGGANG MOTOSIKAL LARI SJR

Sumber Gambar : JPJ

Gombak: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika mengejar penunggang motosikal yang melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Gombak di sini, hari ini.

Menurut laporan, dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, mangsa yang sedang bertugas dalam satu operasi motosikal bertindak mengejar penunggang terbabit dengan motosikal sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

Difahamkan, mangsa adalah anggota berpakaian preman yang menyertai operasi terbabit dan ditugaskan untuk menghalang pengguna jalan raya yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di SJR terbabit.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dikatakan mengejar penunggang motosikal yang melarikan diri terbabit sejauh kira-kira lima kilometer.

Bagaimanapun, ketika mengejar suspek yang menunggang motosikal jenis 125Z, motosikal mangsa terbabas dan menyebabkannya terjatuh di atas jalan raya sebelum dirempuh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Kejadian itu turut disahkan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. –Alhijrah Online

Leave a Reply