KKM SEMAK SEMULA TATACARA PENGURUSAN JENAZAH COVID-19

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyemak semula tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semakan semula tersebut sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021.

Pindaan tatacara tersebut antaranya jenazah Islam dibenarkan untuk dimandi dan dikapankan dengan syarat urusan mandi dan kapan dilakukan pengendali jenazah yang terlatih di hospital dengan pemakaian Personal Protective Equipment (PPE) yang lengkap.

“Mengelakkan aktiviti yang berunsur aerosol generating procedure (AGP) ke atas jenazah seperti menekan perut jenazah.

“Hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dan bersesuaian dibenarkan turut serta dalam urusan memandikan dan mengapankan jenazah bersama pengendali jenazah yang terlatih di hospital,” katanya.

Khairy mengulas, bagi jenazah bukan Islam, sekiranya prosedur last rite memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan jenazah tanpa melibatkan aktiviti AGP.

“Hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dan bersesuaian dibenarkan turut serta dalam urusan prosedur last rite,” katanya.

Ujar Khairy, tatacara pengurusan jenazah yang turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat bagi setiap jenazah.

Bagi urusan pengebumian jenazah, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam proses pengebumian jenazah tetapi perlu memakai PPE bersesuaian.

“KKM juga tidak menetapkan jumlah kehadiran untuk menyaksikan proses pengebumian jenazah. Namun begitu, KKM menggalakkan individu yang hadir untuk memakai pelitup muka dan elakkan daripada bersesak-sesak,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply