KUOTA HAJI MALAYSIA MENINGKAT KEPADA 31,600 TAHUN INI

Gambar Fail Jemaah Haji Malaysia. — Bernama

KUALA LUMPUR: Kuota haji Malaysia untuk 2023 adalah 31,600 meningkat berbanding 14,306 jemaah pada 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata Malaysia menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh ini.

“Saya yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal-bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang kelima

“Saya ingin memohon kepada semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata beliau telah memberikan penegasan bahawa Tabung Haji akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi.

Beliau semalam telah mengadakan mesyuarat khas bersama Menteri Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia.

Mesyuarat khas tersebut berlangsung dengan penuh mahabbah khususnya membincangkan aspek persiapan Musim Haji Tahun 1444H/2023M, malah Tawfiq Fawzan telah memuji negara Malaysia khususnya pihak TH atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi. — AlHijrah Online

Leave a Reply