KUTIPAN ZAKAT MELAKA MENINGKAT 3.99 PERATUS KEPADA RM76.17 JUTA

MELAKA: Kutipan zakat harta dan fitrah di Melaka meningkat sebanyak 3.99 peratus kepada RM76.17 juta melibatkan 42,993 pembayar dalam tempoh Januari hingga semalam berbanding RM73.25 juta dengan jumlah 41,936 pembayar dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata daripada jumlah itu, zakat fitrah mencatatkan kutipan sebanyak RM4.45 juta pada tahun ini, meningkat 15.85 peratus daripada RM3.84 juta pada tahun lepas.

Adly yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata zakat pendapatan mencatatkan kutipan tertinggi iaitu kira-kira RM44.78 juta, meningkat empat peratus berbanding RM43.06 juta pada tahun lepas.

“Zakat ternakan pula merekodkan kutipan terendah iaitu sebanyak RM38,321.85, namun meningkat sebanyak 42.03 peratus berbanding RM26,981 pada tahun lepas.

“Kutipan zakat perniagaan ialah yang kedua tertinggi iaitu kira-kira RM13.74 juta dalam tempoh sama tahun ini berbanding RM13.96 juta dalam tempoh sama tahun lepas, menurun 1.61 peratus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pelancaran Jom Berzakat di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, sebanyak 10 agensi dan syarikat di Melaka menyerahkan zakat perniagaan masing-masing dengan jumlah keseluruhan lebih RM1.27 juta.

Syarikat dan agensi tersebut ialah Bina Masyhur Sdn Bhd (RM318,335), Fazil Agency (RM300,199), QSR Brands (M) Sdn Bhd (RM156,882), Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (RM150,000), Gerbang Alaf Restaurants Sdn bhd (RM101,000), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (RM100,000), CIMB Islamic Bank Sdn Bhd (RM50,000), Melaka Sentral Sdn Bhd (RM35,000), MBSB Bank Berhad (RM33,770.58) dan Hong Leong MSIG Takaful Bhd (RM30,000).

Mengulas lanjut, Adly yang juga Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama Melaka berkata zakat wang simpanan meningkat 7.3 peratus kepada RM11.83 juta pada tahun ini diikuti emas dan perak (RM650,574.44), saham (RM611,804.39) dan pertanian (RM62,650).

Sementara itu, beliau berkata Zakat Melaka menyasarkan kutipan kira-kira RM104 juta pada tahun depan berbanding sasaran RM95 juta pada tahun ini.

Katanya peningkatan itu diyakini mampu dicapai ekoran kesedaran umat Islam di negeri ini terhadap Rukun Islam ketiga itu semakin meningkat selain penambahbaikan medium pembayaran zakat menerusi platform atas talian izakat.com yang baru diperkenalkan pertengahan tahun ini.

“Setakat ini izakat.com hanya mengendalikan pembayaran zakat fitrah namun ia akan diperluaskan untuk pembayaran zakat harta bagi memudahkan umat Islam di negeri ini menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata menerusi izakat.com, umat Islam boleh membuat pembayaran zakat melalui kaedah auto debit, dengan potongan gaji tanpa melalui majikan yang dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya bulan hadapan.

Beliau berkata selain itu, inisiatif i-kendiri dan i-majikan telah diperkenalkan bagi menarik dan menggalakkan lebih ramai umat Islam menggunakan perkhidmatan atas talian itu selewat-lewatnya Januari depan.

“Menerusi inisiatif i-kendiri, pembayar zakat boleh menyemak, mengira dan membayar zakat yang telah dan akan dibuat manakala menerusi kaedah i-majikan pembayar zakat boleh menunaikan tanggungjawab mereka melalui potongan gaji secara dalam talian,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply