LANJUTAN TEMPOH MORATORIUM MASIH DALAM PERBINCANGAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan pihak bank untuk meneruskan moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar kepada golongan memerlukan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pembukaan banyak sektor ekonomi pada 4 Mei lalu membolehkan rakyat dan perniagaan mula menjana pendapatan dan membayar semula pinjaman kewangan mereka.

“Langkah seterusnya berbincang dengan bank tempatan untuk membuat secara bersasar contohnya memanjangkan tempoh bayaran sekaligus mengurangkan ansuran bulanan.

“Mengubah terma dan syarat serta mengurangkan kadar faedah dan memberi pelepasan lain sehingga peminjam lain,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang meminta menteri menyatakan status terkini pelaksanaan program Prihatin Rakyat, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dam moratorium.

Tengku Zafrul turut menasihatkan peminjam untuk bertemu dengan pihak bank untuk mendapatkan bantuan dan nasihat berhubung pembayaran semula pinjaman.

Dalam pada itu beliau berkata, bantuan tambahan untuk program Prihatin Rakyat dan PENJANA akan bergantung kepada proses pemulihan ekonomi negara.

Ujarnya buat masa ini fokus kerajaan adalah melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan kukuhkan ekonomi. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply