Kuala Terengganu: Lapan tabung derma masjid dipecah menyebabkan kerugian hampir RM4,000 di Masjid Losong Haji Mohd di sini kira-kira jam 3.50 pagi tadi.
Menurut Pengerusi masjid itu, Wan Musa Wan Endut, kejadian disedari seorang jemaah wanita yang tiba sekitar jam 5.30 pagi untuk solat subuh.
Saksi mendapati tabung yang tersangkut pada tiang telah jatuh ke lantai dengan kesan dipecahkan.
Katanya pemeriksaan lanjut mendapati kesemua tabung masjid telah dipecahkan dengan wang hasil kutipan dicuri.
Ujar beliau, rakaman litar tertutup CCTV mendapati suspek menggunakan gunting besi untuk memecah kesemua tabung derma tersebut.
“Kita ada lapan tabung kesemuanya dan semua dipecah cuma satu tak sempat ambil duitnya sebab ada dua kunci keselamatan.
“Bila masuk Ramadan kita buat tabung Ramadan kemungkinan hasil kutipan memang banyaklah,” katanya.
Suspek dipercayai masuk ke masjid dengan mencungkil tingkap masjid dan melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
Satu laporan polis berkenaan kejadian itu telah dibuat di Balai Polis Chabang Tiga hari ini. —AlHijrah Online