BOT KARAM KAPIT: MAYAT KONSTABEL ISKANDAR AKHIRNYA DITEMUI

KAPIT : Selepas sembilan hari tragedi bot karam di Sungai Batang Baleh, berhampiran SK Lepong Balleh, mayat Konstabel Iskandar Ibrahim akhirnya ditemukan hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, mayat berusia 28 tahun itu dijumpai terapung oleh orang awam kira-kira jam 11.30 pagi tadi di kawasan Seputin

“Mayat mangsa dijumpai terapung sejauh 2 Kilometer dari lokasi bot karam.”

“Bertindak atas maklumat, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dalam operasi pencarian mangsa terakhir tragedi bot karam di SK Lepong Balleh itu telah bergegas ke lokasi kejadian.”

“Hasil pengecaman pada pakaian yang dipakai, disahkan mayat tersebut adalah mangsa terakhir insiden bot karam” katanya dalam kenyataan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, operasi SAR yang memasuki hari kesembilan diteruskan pada pukul 8 pagi tadi melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahan Awam, Lembaga Sungai-sungai Sarawak, Pejabat Residen termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran Kapit.

Dalam tragedi pada 5.24 petang, 7 Mac lalu, bot fiber yang dinaiki Iskandar bersama empat lagi yang lain karam ketika dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie, untuk membawa bahan letupan seberat 35kg dan detonator.

Iskandar bersama seorang lagi anggota polis yang bertugas di IPD Kapit sarjan Jonathan Lambert, 51, dilapor mengiringi bahan letupan itu untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi pembinaan jalan di Kawasan Baleh.

Jonathan bersama dua lagi orang awam, Jack Balan, 45, dan Amerson John Nain, 47, ditemui selepas dua hari kejadian dan disahkan meninggal dunia.

Manakala mangsa terselamat dikenali sebagai Moses Ngui, 47. —AlHijrah Online

Leave a Reply