SUNGAI PETANI: 10 hari penganjuran Festival Murtadha Dakwah Centre (MADAD) 2023, menyaksikan kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari pelbagai lapisan umur.
Menurut Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, festival yang pertama kali diadakan ini berjaya mencapai sasaran pengunjung, malah mendapat sambutan luar biasa dari penduduk setempat dan juga dari seluruh negeri.
Sepanjang festival yang bermula sejak 16 November ini, pelbagai pengisian diadakan antaranya program ilmiah, kerohanian dan bersukan.
“Festival ini berjaya mencapai objektif dan tidak hanya menyasarkan kepada aktiviti perniagaan makanan semata-mata malah acara sampingan seperti ceramah agama, alunan nasyid dari artis terkenal, aktiviti berkuda dan memanah yang diberikan secara percuma kepada pengunjung bagi merasai sendiri sukan kegemaran Rasullullah SAW,” jelas Mohammad Yaakub Yusra.
Hari terakhir Festival MADAD 2023 hari ini pula, dimeriahkan dengan aktiviti Pengajian Tajwid, Kitab Penawar Bagi Hati dan Kita Palestin dengan kutipan melebihi sasaran.
“Dalam kita bergembira, makan sedap semua, kita tidak lupakan saudara kita di Palestin sebab semua kutipan RM47 juta ini kita serahkan kepada NGO Cinta Gaza Malaysia untuk disalurkan kepada Rakyat Palestin.
“Wang itu akan membantu dari segi pasca peperangan untuk bekalan selimut tebal ekoran musim sejuk bakal melanda Asia Barat tidak lama lagi selain pembinaan semula rumah-rumah yang dibom Israel,” katanya.
Sementara itu bagi pengunjung, Norzalina Mohd Taib, 58, kedatangannya bersama rombongan dari Bota, Perak mendapat banyak manfaat daripada festival ini
“Eloklah program macam ini diadakan sebab banyak manfaat kita boleh kongsi bersama dari awal program tentang kisah pengajian lepas tu cerita-cerita Palestin dan macam-macam lagi,” kongsinya.
Festival MADAD 2023 berlangsung selama 10 hari dengan pelbagai aktiviti menarik yang tidak mengecawakan pengunjung melabuhkan tirainya hari ini.
Ia dijangka akan diadakan tahun depan dengan pengisian yang lebih menarik.–AlHijrah Online.