‘TERDAPAT PELUANG’ LANJUTKAN JEDA KEMANUSIAAN DI GAZA – BIDEN

Sumber Gambar: AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Jumaat berkata “terdapat peluang” untuk melanjutkan jeda kemanusiaan antara Hamas dan Israel di Semenanjung Gaza.

“Saya rasa peluang itu ada,” kata Biden pada sidang media di Massachusetts, lapor Agensi Anadolu.

Presiden AS itu berkata beliau secara peribadi terus berhubung dengan pemimpin Qatar, Mesir dan Israel untuk memastikan perjanjian itu “dipatuhi” dan setiap aspek dilaksanakan.

Biden berkata tempoh jeda kemanusiaan yang berpanjangan adalah penting untuk menyampaikan makanan, ubat-ubatan, air dan bahan api yang sangat diperlukan.

“Sejak lawatan ke Israel bulan lepas, saya telah memberi tumpuan untuk mempercepatkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan penyelarasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Palang Merah,” kata Biden.

Biden turut mengulangi sokongan AS bagi penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik Israel-Palestin.

Jeda kemanusiaan selama empat hari antara tentera Israel dan Hamas berkuat kuasa Jumaat di semua wilayah Semenanjung Gaza, dengan serangan dihentikan seketika manakala bantuan kemanusiaan mula disalurkan.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti hingga mengorbankan lebih 14,854 rakyat Palestin, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.–AlHijrah Online

Leave a Reply