LELAKI MAUT TERKENA SABIT SENDIRI KETIKA MENYAMUN

Suspek ditemui mati kira-kira 36 meter dari premis yang disamun.

GOMBAK: Seorang lelaki warga asing maut apabila sabit yang digunakan untuk menyamun dan menyerang mangsa memakan diri dalam kejadian di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, suspek  mendatangi mangsa di sebuah premis.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek pada mulanya berbual dengan mangsa, namun secara tiba-tiba suspek terus menyerang mangsa dengan menetak menggunakan sabit panjang.

“Mangsa kemudiannya mengambil kerusi plastik untuk mempertahankan diri, namun dalam masa yang sama senjata yang digunakan suspek telah terkena pada bahagian paha kiri suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sejurus itu suspek terus berlari keluar dan terus rebah di atas jalan pada jarak lebih kurang 36 meter dari lokasi kejadian.

“Suspek yang berusia 50 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa berusia 48 tahun pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes dianggap selesai memandangkan mangsa dan suspek yang terlibat dalam kejadian ini telah meninggal dunia,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply