LELAKI MENGAMUK, SERANG ANGGOTA KESELAMATAN

KUCHING: Gara-gara tidak dapat keluar daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), seorang lelaki naik angin dengan menyerang anggota keselamatan yang bertugas di Kampung Telaga Air, di sini semalam.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 petang itu, suspek yang berusia 30 tahun menyerang anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang bertugas dengan batang kayu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Supt Lim Jaw Shyong berkata, anggota keselamatan bertugas telah meminta suspek yang ingin keluar dari Kawasan PKPD untuk pulang ke rumah namun dia berdegil sebelum bertindak agresif.

“Suspek mengacukan batang kayu panjang ke arah anggota keselamatan dan berlaku pergelutan.

“Suspek berjaya ditangkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Suspek direman empat hari sehingga 6 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.—AlHijrah Online

Leave a Reply