POLIS PANGGIL 107 AHLI PARLIMEN TERLIBAT PERHIMPUNAN

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil kesemua 107 Ahli Parlimen yang terlibat dalam perhimpunan di Dataran Merdeka, pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis telah mengenal pasti kesemua peserta perhimpunan ‘Solidariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen’ dan akan memanggil mereka dalam masa terdekat.

Perhimpunan itu dipercayai bertujuan untuk menunjukkan bantahan ke atas penangguhan sidang Parlimen yang sepatutnya berlangsung pada 2 Ogos.

Azmi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis pemberitahuan daripada pihak penganjur berhubung perhimpunan tersebut.

“Ingin saya jelaskan di sini bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat daripada media mengatakan hari ini akan berlaku ‘Perhimpunan Solidariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen’.

“Semakan dengan Parlimen mendapati tiada sebarang persidangan pada hari ini dan justeru itu, kita telah membuat sekatan dan lencongan dengan tidak membenarkan kumpulan itu memasuki Parlimen,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ulas Azmi, setakat ini dua laporan polis telah diterima oleh pihaknya berhubung kejadian tersebut.

“Kita akan lakukan siasatan seperti perhimpunan lain dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Daripada situ kita tahu apa tindakan lanjut akan dibuat,” jelasnya.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta 342 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit.–AlHijrah Online

Leave a Reply