LELAKI NAIK ANGIN PECAH CERMIN KERETA DAN BARANG PERNIAGAAN

 ALOR SETAR: Akibat tidak berpuas hati, seorang lelaki berang lalu bertindak memecahkan cermin kereta dan barangan perkakasan perniagaan milik jirannya di Taman Bee Bee Park, Simpang Kuala, Alor Setar.

Dalam kejadian jam 2.09 petang itu, lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana jirannya berniaga bersebelahan rumah sehingga mengganggu ketenteramannya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, berikutan itu, mangsa seorang lelaki berusia 46 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar selepas kejadian.

Beliau berkata, berikutan itu polis menahan suspek untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Polis turut merampas seketul bata berwarna kelabu yang dipercayai digunakan suspek untuk memecahkan cermin kereta.

Turut dirampas sebatang besi sepanjang kira-kira 75 sentimeter panjang yang digunakan suspek untuk memecah perkakas perniagaan milik mangsa.

Ahmad Shukri berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat tidak puas hati antara suspek dan mangsa namun polis masih menjalankan siasatan.

Suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat.

Leave a Reply