“LURUS DAN RAPATKAN SAF” KEMBALI KEDENGARAN DI DUA MASJID SUCI

Sumber Gambar : Haramain Info

ARAB SAUDI: Selepas lebih setahun setengah, pengumuman “lurus, dan rapatkan saf” kembali kedengaran di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Solat Subuh pagi tadi merupakan solat berjemaah pertama di dua masjid suci itu yang dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal selepas COVID-19 menular di seluruh dunia.

Arab Saudi pada Jumaat mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) antaranya tidak lagi wajib memakai pelitup muka kecuali di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Selain itu arahan penjarakan fizikal di dua masjid suci itu juga ditarik yang membenarkan solat berjemaah dilaksanakan secara rapat.

Jumlah jemaah di dua masjid suci itu juga dibenarkan pada kapasiti penuh bermula hari ini.

Berdasarkan Twitter Haramain Info, pelekat yang menandakan penjarakan fizikal telah dicabut selepas solat Isyak malam semalam.

Penghadang yang diletakkan berhampiran Kaabah susulan COVID-19 juga telah dibuka.

Memetik Arab News, kelonggaran sop yang diumumkan Arab Saudi susulan penurunan kes COVID-19 selain pencapaian kadar vaksinasi yang tinggi. –AlHijrah Online

Leave a Reply