HARGA LANTAI KOS UMRAH RM6,900

Sumber Gambar : AFP

KUALA LUMPUR: Harga lantai baharu bagi ibadah umrah ditetapkan sebanyak RM6,900 untuk pakej 12 hari 10 malam.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kenaikan itu susulan peningkatan kos daripada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak Arab Saudi dan Malaysia.

Sebelum ini harga lantai yang ditetapkan pada 2017 ialah RM4,900.

Penetapan kadar baharu kos umrah itu dicapai hasil perbincangan dengan Persatuan Khidmat Pelancongan Dan Umrah.

Antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar, pengurusan mutawif serta ujian calitan COVID-19.

Harga lantai yang ditetapkan ini adalah panduan kepada orang ramai dalam membuat pertimbangan sebelum menunaikan umrah.

MOTAC turut menasihatkan bakal jemaah mengambil langkah berhati-hati jika mendapati harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes penipuan.

Harga lantai ini akan disemak semula apabila wabak covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal, selain kekangan sop tidak lagi dilaksanakan Malaysia dan Arab Saudi. –AlHijrah Online

Leave a Reply