ENAM KENDERAAN DIARAH BERPATAH BALIK TIDAK LENGKAP VAKSIN

Sumber Gambar : AFP

IPOH: Sekurang-kurangnya enam kenderaan yang melalui jalan Gerik-Jeli untuk pulang ke Kelantan di arah berpatah balik selepas pemeriksaan mendapati individu terlibat tidak lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Alathrash Wahid berkata, arahan itu dikeluarkan ketika kenderaan berkenaan melalui pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Sungai Lebey dekat Gerik.

Menurutnya, pemandu dan penumpang yang diperiksa didapati belum lengkap dua dos vaksin selepas diminta mempamerkan sijil vaksinasi masing-masing.

Katanya, pemandu kenderaan memberi alasan untuk ke Kelantan, namun tidak bernasib baik kerana semasa pemeriksaan gagal menunjukkan pengesahan sudah lengkap divaksinasi.

Sementara itu beliau berkata, berlaku pertambahan kenderaan yang menggunakan laluan Gerik-Jeli berikutan orang ramai mengambil peluang bercuti panjang untuk ke Kelantan bermula pada Jumaat sehingga Selasa ini.

Mengulas gambar kesesakan di JRTB Gerik-Jeli yang tular di media sosial, Mior berkata, kejadian itu berlaku sekitar 4 petang Jumaat lalu kerana kenderaan bergerak perlahan dalam jarak 1.5 kilometer dari SJR yang didirikan.

Menurutnya, kesesakan tidak berlaku terlalu lama dan pengguna jalan raya yang melalui sekatan hanya perlu menunjukkan pengesahan vaksinasi di MySejahtera. –AlHijrah Online

Leave a Reply