BAKAL PENGANTIN MANGSA SEKSUAL BOMOH

PASIR MAS: Hasrat seorang bakal pengantin yang mengalami gangguan makhluk halus untuk mendapatkan rawatan tradisional akhirnya bertukar tragedi apabila menjadi mangsa rogol seorang bomoh.

Wanita yang berusia 23 tahun itu dirogol di rumah suspek yang dikenali sebagai Ayah Su di Tendong, Pasir Mas ketika datang mendapatkan rawatan pada petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Nasaruddin Md Nasir berkata, mangsa sebelum ini berjumpa dengan suspek yang berusia 67 tahun di sebuah nurseri pokok dan menceritakan perihalnya yang diganggu makhluk halus.

Suspek mempelawa mangsa ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan dan mangsa bersama ibu serta bakal suaminya telah pergi ke rumah suspek pada jam 3 petang, Khamis lalu.

“Pada 14 Oktober 2021, lebih kurang jam 3 petang, mangsa pergi bersama ibu dan bakal suaminya ke rumah suspek di Tendong, Pasir Mas, Kelantan untuk dapatkan rawatan tradisional.

“Setelah mangsa berjumpa dengan suspek, yang dikenali dengan panggilan Ayah Su, dan isterinya Mok su, suspek kemudian meminta mangsa untuk masuk ke dalam bilik rawatan melalui pintu belakang rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Katanya, ketika berada berdua dalam bilik rawatan, mangsa diminta menanggalkan seluar dan sesi rawatan dimulakan dengan menggosok paha sebelum mangsa dicabul .

Sesi rawatan selama setengah jam itu berakhir dengan kejadian rogol dan suspek meminta agar wanita itu datang sekali lagi untuk rawatan susulan.

Suspek juga memberi amaran kepada wanita itu agar tidak memberitahu sesiapa namun mangsa menceritakan kepada bakal suaminya serta keluarga sebelum tampil membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan itu, suspek yang juga pesara kakitangan kerajaan ditahan pada tengah malam hari yang sama di rumahnya.

Nasaruddin berkata, siasatan awal mendapati suspek sudah menjalankan rawatan itu kira-kira 36 tahun dan dipercayai sudah lebih 10 pesakit menjadi mangsa.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 22 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. –AlHijrah Online

Leave a Reply