SOLAT SAF RAPAT DIBINCANG RABU INI

Sumber Gambar: ARKIB / AFP

KUALA LUMPUR: Cadangan prosedur operasi standard (SOP) untuk merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah akan dibincang Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata perbincangan itu akan dibuat dalam Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), pada 20 Oktober 2021.

Jelas Idris, muzakarah khas tersebut akan membincangkan beberapa SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau, termasuk cadangan untuk merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah

“Muzakarah pada kali in bertujuan mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Muzakarah khas diadakan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan peralihan fasa dan kelonggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) paa 15 Oktober lalu,” dalam kenyataannya, semalam.

Jelas Idris, semua ahli muzakarah terdiri daripada mufti-mufti negeri, ahli-ahli dilantik dalam kalangan pakar, termasuk pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya percaya suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sediakala akan dibenarkan dengan SOP tertentu,” ujarnya.

Baru-baru ini, Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais mengumumkan bermula 17 Oktober 2021, tiada lagi penjarakan fizikal semasa menunaikan solat secara berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.–AlHijrah Online

Leave a Reply