LELAKI OKU TENDANG BAPA TIRI BERDEPAN HUKUMAN PENJARA

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) sakit mental mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mencederakan bapa tirinya pada 15 Februari lalu.

Tertuduh, Mohamad Farol Rafiq Md Rodzi, 29, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN – PENAGIH PUKUL BAPA TIRI KERANA TIDAK DAPAT WANG BELI DADAH

Mengikut pertuduhan, Mohamad Farol didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bapa tirinya, Nordin Ahmad, 72, di rumah mangsa di Jalan Masjid, Kampung Ruat, Yan, kira-kira jam 7 pagi pada hari kejadian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hamizah Mat Shah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farahdina Che Bakar.

Dalam prosiding berkenaan, Farahdina memaklumkan tertuduh merupakan pemegang kad OKU penyakit mental sejak lapan tahun lalu dan diperintahkan untuk dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak bagi penilaian psikiatri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jakim RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Majistret juga turut menetapkan syarat tambahan dengan tidak membenarkan tertuduh mendekati mangsa selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat, sekali sebulan sehingga kes selesai.

AlHijrah Online sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak memukul dan menendang bapa tirinya dipercayai gara-gara tidak diberikan wang untuk membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata tertuduh dipercayai telah memukul mangsa beberapa kali termasuk menendang bahagian belakang ketika mangsa berada di luar rumah.

Insiden menyebabkan mangsa mengalami bengkak di bahagian telinga kiri akibat ditumbuk oleh suspek.-AlHijrah Online

Leave a Reply