LELAKI TULAR HAYUN SABIT POSITIF DADAH

GOPENG: Lelaki yang tular bertindak agresif dengan berdiri di atas kereta peronda polis sambil menghayun sabit tular pagi tadi didapati positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan juga mendapati suspek berusia 61 tahun itu turut mempunyai enam rekod lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.
Menurut Datuk Mior Faridalathrash, sebelum kejadian suspek telah mengamuk dan merampas motosikal orang awam di kawasan Pasar Awam Lumba Kuda sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng.
“Suspek telah memasuki kawasan Balai Polis Gopeng menaiki sebuah motosikal dengan membawa parang serta sabit dan kemudian melibas senjata tersebut di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan balai.
“Pegawai polis bertugas cuba menenangkan suspek dan menghubungi bantuan namun lelaki terbabit bertindak keluar dari kawasan balai namun berjaya disekat pihak polis di hadapan balai polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Mior Faridalathrash berkata, melihat situasi tersebut sebuah kereta peronda (MPV) Balai Polis Gopeng telah diletakkan tengah jalan untuk menghalang orang awam melalui kawasan itu.
Namun katanya, suspek bertindak memanjat bumbung MPV dan melibas parang serta sabit yang dibawa bagi mengelakkan ditahan polis.
Ujar beliau, dengan bantuan pasukan bomba dari balai Bomba dan Penyelamat Gopeng yang memancutkan air, suspek yang jatuh ke jalan akhirnya berjaya ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi.
Menurut Datuk Mior Faridalathrash, polis turut merampas sebilah sabit panjang, sebilah parang, sebuah motosikal dan empat bilah kunci.
Katanya, kes disiasat du bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 19767, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.
Pagi tadi tular video seorang lelaki bertindak agresif dengan berdiri di atas kereta peronda polis sambil menghayun sabit.
Tindakan lelaki yang tidak berbaju dan hanya berseluar jeans itu dirakam orang awam di sekitar lokasi kejadian dan tular di laman sosial.
Video berdurasi 43 saat itu memaparkan lelaki terbabit berdiri di atas bumbung kereta peronda polis sambil menjerit dan menghayun galah bersabit.
Menerusi video tersebut, beberapa anggota bomba dilihat membuat semburan air ke arah lelaki itu yang menyebabkan dia turun dari kenderaan sebelum berlaku pergelutan dan suspek akhirnya ditangkap. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid