LELAKI TERTEKAN MENINGGAL DUNIA SELEPAS TUMBUK CERMIN MASJID

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia akibat kecederaan pada pergelangan tangan dan kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex, pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt. Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima makluman mengenai mangsa pada jam 7.35 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki yang berusia 28 tahun itu dipercayai mengamuk di Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya, pada malam sebelum kejadian.

“Mangsa bertindak sedemikian selepas mendapati pintu masjid tersebut ditutup selepas waktu Isyak.

“Mangsa bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu hingga pecah hingga menyebabkan tangannya berlumuran darah. Di lantai masjid terdapat kesan tompokan darah.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin itu sehingga pecah,” katanya.

Mohd Sohaimi berkata, berdasarkan siasatan awal, kakak mangsa memberitahu bahawa adiknya yang bekerja sebagai jurutera kimia sebuah syarikat, dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat keluarga di Kuala Berang, Terengganu, sejak kira-kira enam bulan.

Mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail bagi proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah luka parah di pergelangan tangan kanan saluran darah alteri, dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca dan kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply