LAMBORGHINI HILANG KAWALAN LANGGAR KERETA HINGGA TERBALIK

KUALA LUMPUR: Sebuah kereta mewah jenis Lamborghini dipandu laju seorang lelaki hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan lain, di Jalan Tun Razak menghala ke Bulatan Pahang, pagi tadi.

Kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dipandu seorang wanita berusia 53 tahun terbalik dan melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya, kira kira jam 8.40 pagi tadi.

Kesemua pemandu kenderaan yang terlibat dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kereta Lamborghini yang dipandu lelaki berusia 42 tahun dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Bulatan Pahang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, terdapat deretan kenderaan berhenti yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas namun pemandu tersebut gagal mengawal kenderaan lantas melanggar kereta Proton Perdana yang dipandu wanita tersebut sehingga terbalik.

“Kenderaan itu kemudian melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya.

“Setakat ini, pemilik tiga jenis kenderaan iaitu kereta Mazda berwarna merah, Nissan Serena berwarna hitam dan kenderaan jenis pacuan 4 roda jenama Ford Ranger 2.0 berwarna biru telah hadir membuat laporan,” katanya.

Bagaimanapun siasatan lanjut akan diteruskan jika terdapat lain-lain kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Tambahnya, ujian air kencing dan alkohol pemandu Lamborghini didapati negatif dan kes diklasifikasikan di bawah Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Sekyen 43 (1) APJ 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai Polis berhampiran,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply