KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Tabung Haji (TH) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Labbaitom – kategori Kepuasan Pelanggan oleh Arab Saudi untuk kali ketiga berturut-turut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, anugerah tersebut disampaikan dalam Majlis Penutup Musim Haji 2024M/1445H.
“Pencapaian ini adalah amat membanggakan Malaysia. Saya berharap pengurusan TH sentiasa mencari ruang inovasi dalam menyediakan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada jemaah haji Malaysia bagi tahun-tahun berikutnya.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TYT Dr Tawfiq Fawzan al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi kerana memilih Malaysia bagi anugerah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Mohd Naim dan delegasinya dijemput untuk menghadiri Majlis Penutup Musim Haji 1445H/ 2024M di Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 18 Jun lalu.
Dalam majlis tersebut, Dr Tawfiq Fawzan al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi telah melancarkan Program Nusuk Masar bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada jemaah Haji seluruh dunia bagi Musim Haji 1446H/ 2025M.
Mohd Naim turut mengucapkan syabas kepada semua jemaah haji Malaysia yang memberi kerjasama dan berdisiplin sepanjang perjalanan Masyair.
Katanya kerjasama ini amat membantu TH mengenal pasti menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.—AlHijrah Online