BERKUATKUASA HARI INI, MASJID AL-AQSA DITUTUP KEKANG COVID-19

BAITULMAQDIS: Solat berjemaah di Masjid Al-Aqsa terletak di timur Baitulmaqdis yang dijajah, digantung sementara bagi mengekang penularan wabak koronavirus, demikian menurut Majlis Wakaf Muslim semalam.

Keputusan yang dibuat susulan mesyuarat tergempar itu berkuatkuasa hari ini, kata majlis wakaf itu dalam kenyataan dipetik agensi berita Anadolu.

“Penutupan itu hanya untuk tempoh sementara dengan semua petugas dan pengawal akan bekerja seperti biasa.

“Panggilan azan di Masjid Al-Aqsa juga akan diteruskan seperti biasa apabila masuk waktu solat,” kata kenyataan itu.

Majlis itu berkata keputusan itu dilakukan bagi melindungi kesihatan dan nyawa jemaah.

Masjid Al-Aqsa adalah rumah ibadat ketiga suci bagi umat Islam, manakala Yahudi merujuknya sebagai kuil nabi sulaiman dan mendakwa ia tempat suci Yahudi di zaman purba.

Israel menjajah Baitulmaqdis Timur, di mana terletaknya Masjid Al-Aqsa, ketika perang Arab-Israel 1967.

Rejim zionis Israel menjadikan kawasan itu sebahagian wilayahnya pada 1980, tindakan yang tidak diiktiraf masyarakat dunia.

Semalam, Israel merekodkan 62 kes baharu jangkitan koronavirus menjadikan keseluruhan 945 kes wabak itu.

Israel merekodkan kematian pertama akibat koronavirus pada Jumaat lalu.

Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila berkata empat kes baharu direkodkan di Ramallah dan Hebron, Tebing Barat, menjadikan keseluruhan 52 individu positif koronavirus dengan 17 kes telah sembuh.

Wilayah Gaza yang dikepung rejim pula mencatatkan dua kes positif koronavirus membabitkan dua warga Palestin yang baru pulang dari Pakistan.

Lebih 329,000 individu dijangkiti koronavirus atau COVID-19 seluruh dunia dengan 14,500 maut, sementara 97,000 telah sembuh. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply