COVID-19: 12 JUTA PENCARUM KWSP BOLEH KELUARKAN RM500 UNTUK 12 BULAN – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang simpanan maksimum RM500 sebulan bagi tempoh 12 bulan untuk mengurangkan beban rakyat ketika ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah yang akan memberi manfaat kepada 12 juta pencarum membabitkan pengeluaran berjumlah RM40 bilion itu, antara empat inisiatif diputuskan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini bagi mengurangkan beban rakyat ketika negara berdepan dengan wabak COVID-19.

Katanya, inisiatif-inisiatif yang diumumkan hari ini sebahagian Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat, dengan pakej bantuan lebih komprehensif akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Permohonan (pengeluaran i-Lestari KWSP) boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.

“Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak empat peratus berkuatkuasa pada bulan April ini akan membolehkan pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang keperluan harian.

“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini.

“Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga. Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.

“Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan. InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga,” kata Muhyiddin dalam sidang media khas disiarkan secara langsung stesen-stesen TV tempatan tengah hari tadi.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyokong usaha menangani COVID-19.

Beliau berkata peruntukan ini antara lainnya akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

“Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat.

“Selain itu, peruntukan RM100 juta juga disediakan kepada KKM untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana terpaksa bekerja siang malam untuk menekang penularan wabak COVID-19 melalui tugas mereka di hospital.

“Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita, mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak COVID 19,” katanya.

Muhyiddin berkata inisiatif ketiga adalah penyaluran peruntukan RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu pihak terbabit menangani krisis COVID-19.

“Peruntukan ini boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis COVID-19, bantuan kepada pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.

“Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan krisis sedang dihadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik.

“Sebab itulah saya berpandangan semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatu-padu untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini.

“Menjaga keselamatan rakyat, kesihatan rakyat dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab kita bersama yang melangkaui batas politik,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata Kerajaan juga bersetuju memberikan lanjutan masa dari tiga bulan kepada enam bulan bagi langkah penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membabitkan jumlah kutipan RM750 juta.

“Penangguhan ini yang berkuatkuasa serta-merta pada hari ini sehingga 30 September 2020 dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN,” kata Perdana Menteri.

Selain inisiatif diumumkan hari ini, Perdana Menteri berkata Kerajaan sedang mengkaji langkah-langkah tambahan lain untuk membantu rakyat menghadapi keadaan yang sukar pada waktu ini.

Katanya, perkara itu sedang diteliti Kementerian Kewangan yang akan mengambil kira kepentingan setiap kelompok masyarakat di negara ini.

“Samada anda peniaga kecil, pemandu teksi, petani, nelayan, penternak, pekerja kilang, kakitangan swasta, kakitangan kerajaan, semuanya akan diberi perhatian oleh kerajaan.

“InsyaAllah, jika diizinkan oleh Allah swt saya akan umumkan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif pada 30 Mac 2020,” kata Muhyiddin.

Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari hingga 31 Mac depan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, yang setakat ini mengorbankan 11 nyawa dan menjangkiti lebih 1,300 individu di negara ini. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply